Bil. 08/14
KENYATAAN AKHBAR
Ybhg. Dato’ Abdul Hadi bin Awang Kechil
PELAKSANAAN SIMULASI PILIHANRAYA DALAM PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
Kem Plkn Princess Haliza, Sepang, 25 Februari 2014
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memaklumkan bahawa pada hari ini telah berlangsung aktiviti Penamaan Calon bagi Simulasi Pilihanraya di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang, Selangor sempena Lawatan Kerja YBhg Dato Abdul Hadi bin Awang Kechil.
Simulasi Pilihanraya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah mula diperkenalkan secara Pilot Test di empat belas (14) Kem PLKN terpilih seluruh negara pada Kumpulan 2 Siri 9/2012. Simulasi Pilihanraya ini adalah hasil dari usaha penambahbaikan modul yang dilaksanakan secara berterusan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara dalam memastikan agar modul latihan sentiasa mengikut perkembangan semasa dan sesuai dengan pelatih yang terdiri dari golongan Generasi Y. Ia merupakan salah satu pengisian yang terdapat di dalam Elemen Kerajaan di bawah Modul Kenegaraan PLKN dan mendapat kerjasama dari Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
Tujuan Simulasi ini dimasukan ke dalam modul latihan PLKN adalah bagi membolehkan pelatih PLKN terlibat secara langsung bagaimana proses pemilihan kerajaan melalui sistem demokrasi yang dilaksanakan di Malaysia. Melalui simulasi yang dijalankan selama dua (2) hari di Kem PLKN ini, semua pelatih akan terlibat secara langsung dalam setiap aktiviti yang dijalankan megikut peranan yang telah diberikan. Pelatih akan didedahkan dengan kaedah sebenar setiap proses pilihanraya di Malaysia secara praktikal daripada pembubaran Dewan Rakyat, penamaan calon, berkempen, proses pengundian, mengira undi sehinggalah pembentukan kerajaan. Para pelatih dibenarkan untuk menubuhkan parti dan memilih simbol/logo asalkan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik yang sedia ada. Proses simulasi ini menggunakan prinsip “saya dengar saya lupa, saya lihat saya ingat dan saya buat saya faham”. Simulasi ini juga diharap mampu meningkatkan kematangan para pelatih PLKN sebagai bakal pengundi ketika membuat pemilihan kelak dan dapat memberi kefahaman kepada mereka tentang pentingnya penglibatan mereka di dalam proses demokrasi yang di amalkan di Malaysia.
Pelaksanaan sepenuhnya Simuasi Pilihanraya PLKN di kesemua 81 Kem PLKN seluruh Negara telah bermula pada Kumpulan 1 siri 10/2013.
Disediakan oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat
Jabatan Latihan Khidmat Negara
Kementerian Pertahanan Malaysia