Bil. 16/14
KENYATAAN AKHBAR
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) JABATAN LATIHAN KHIDMAT NEGARA (JLKN) 2014
Seramai 86 orang pegawai dan kakitangan ibu pejabat Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi tahun penilaian 2013 yang disampaikan oleh YB Datuk Abdul Rahim bin Bakri, Timbalan Menteri Pertahanan. Majlis yang berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan adalah penganjuran tahun ke-4 bagi peringkat Jabatan. Turut hadir pada majlis ini ialah YBhg Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanandan YBhg Dato’ Abdul Hadi bin Awang Kechil, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara.
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian pegawai dan kakitangan di ibu pejabat JLKN dan kem-kem PLKN seluruh negara yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang bagi tahun yang dinilai.
Setiap penerima APC akan membawa pulang Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai berjumlah RM1,000.00. Diharapkan anugerah APC kali ini dapat membangkitkan lagi semangat bekerja yang ada bagi memantapkan lagi mutu perkhidmatan cemerlang pada masa hadapan.
Di samping itu, pada majlis ini turut diadakan penyampaian Sijil Penghargaan Pengauditan Pengurusan Kewangan berdasarkan Accountability Index Monitoring System (AIMS) secara online 2013 kepada JLKN. Audit pengurusan kewangan berdasarkan AIMS ini telah mula dilaksanakan oleh Bahagian Audit Dalam dan Siasatan Am (BADSA) Kementerian Pertahanan Malaysia sejak tahun 2009. Elemen-elemen pengurusan kewangan yang diaudit merangkumi kawalan pengurusan organisasi, kawalan bajet, kawalan terimaan, kawalan perbelanjaan, pengurusan kumpulan wang amanah, akaun amanah dan deposit dan pengurusan aset, inventori dan stor.
Secara umumnya, sesuatu Jabatan akan diberi tahap prestasi pengurusan kewangan dan penarafan bintang berdasarkan kepada markah keseluruhan yang dicapai bagi tahun yang dinilai.
Untuk makluman, JLKN telah mencapai penarafan 4 bintang bagi 4 tahun berturut-turut sejak tahun 2010 sehingga 2013. Bagi tahun 2013, JLKN telah mendapat markah keseluruhan 99.07% dan sekaligus melayakkan JLKN menerima pengiktirafan 4 bintang (kategori sangat baik) bagi audit AIMS ini.
Disediakan oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat
Jabatan Latihan Khidmat Negara
Kementerian Pertahanan Malaysia